Friday, December 12, 2008

RASUAH MACAM VIRUS

Politik UMNO sudah dicemari rasuah. Kenyataan ini sudah tidak boleh dilindung lagi. Kerana itu timbul tindakan berbagai; kecaman dari dalam dan luar parti, ugutan nak ubah sokongan, ancaman nak dedah orangnya, laporan BPR, tindakan disiplin dll.

PM sendiri sejak awal pentadbirannya menyatakan commitment nya terhadap gejala ini. 'Saya serius' kata Pak Lah. Beliau memberi amaran akan menggugurkan calon yang didapati terlibat dengan rasuah.

Yang susahnya rasuah ini semacam juga virus, dia berkembang dan menular, sukar dikawal walaupun diguna anti virus. Untuk memburukkan lagi jangkitannya ialah sikap manusia sendiri yang tidak pernah cukup (tpc). Misalnya pekerja yang bergaji RM1000 sebulan tpc baginya ialah RM 100. Bagi yang berpendapatan RM100,000 sebulan pula tpc nya mencecah RM 1juta.

Saya teringat bila KPN mengumumkan pelarasan gaji baru pegawai polis tempoh hari, beliau memberi harapan dengan kenaikan gaji ini pegawai-pegawainya tidak akan melakukan rasuah lagi. Bolehkah kita turut yakin dengan harapan KPN ini? Atau seperti sikap tpc yang saya jelaskan, gejala ini akan lebih parah kerana gaya hidup yang semakin mewah menyebabkan selera rasuahnya semakin meningkat. Jika dulu dihulur RM5 sudah memadai, tapi hari ini nak lebih lagi. Perlu kita akui yang virus rasuah ini bukan seperti harga minyak yang boleh naik turun, tapi ia seperti harga secawan kopi yang asyik naik tak turun-turun.

Dari sini tidaklah sukar untuk kita memahami suasana politik UMNO hari ini, bila ada yang mengatakan ada perwakilan yang mampu membeli proton saga baru hasil dari 'wang politik'. Malah menunggu menjelangnya bulan Mac depan mungkin ramai perwakilan mampu memiliki mercedis, kalau tak yang firsthand, yang secondhand pun jadilah. Bagi yang nak jaga maruah pula jangan harap akan dihormati malah akan dicap sebagai perwakilan bodoh yang tak tahu merebut peluang.

Bagi PM kita yang berjanji akan memeranginya saya ucapkan syabas. Semoga medan ini akan memberi peluang kepada Pak Lah untuk kali terakhirnya mencapai salah satu dari gendang perangnya 'CEMERLANG,GEMILANG,TERBILANG' bagi menebus maruahnya sebagai pemimpin no. satu yang belum pernah memberi contoh. Atau akan kekal sebagai 'TEMBERANG'.

Thursday, December 11, 2008

MAJLIS KORBAN

Sempena Aidil Adha pada hari Rabu 10 Disember 2008 saya serta rakan-rakan mengadakan majlis korban di kawasan kebun getah. Lokasinya jauh dari kediaman kami di Lorong Lancuk Tok Led, Jalan Pancor, Pokok Sena, Alor Setar. Di sini cuma terdapat sebuah pondok dan bilik air. Siap dibekal dengan air paip dan elektrik.

Seminggu sebelumnya saya dan rakan telah membersih kawasan sekitar pondok dan bilik air. Rumput serta pokok-pokok kecil dibersihkan agar selesa bergerak. Dengan sedikit kemahiran bertukang saya siapkan dua bijik meja untuk dijadikan meja hidangan.

Kami mula berkumpul seawal jam 8 pagi dengan membawa serba sedikit perkakas masakan. Secara gotong royong seekor kambing dan setumpuk daging lembu kami usahakan sehingga menjadi lauk dan sedia dihidangkan tepat jam 12 tengah hari. Seramai lebih 50 orang hadir. Selain kami serta keluarga juga beberapa orang jemputan terdiri dari penduduk tempatan turut hadir.

Majlis korban merupakan kerja biasa bagi masyarakat kampung. Tetapi apa yang menarik pada saya dalam kumpulan kami yang kecil ini, yang terdiri dari anak-anak keluarga kami, semangat gotong royong, atau kami selalu sebut sebagai ubudiah amat tinggi sekali. Tak perlu diarah masing-masing seperti faham apa peranan yang perlu dibuat di masa itu. Begitu juga selepas selesai majlis segala makanan yang lebih juga sampah sarap diurus beramai-ramai sehingga selesai sebelum berangkat pulang.

Bagi melancarkan kerja persiapan beberapa jawatankuasa kami bentuk:
Jawatankuasa masakan dan hidangan
Jawatankuasa persiapan tempat dan kebersihan
Jawatankuasa jemputan dan sambutan
Jawatankuasa minuman sejuk dan panas

Majlis berjaya merapatkan hubungan antara kami juga beberapa orang kampung. Atas kejayaan ini tabung korban akan dibuka terus untuk tahun hadapan pula. Semoga mendapat restu dari Allah.